twitter
rss

1.0 Pengenalan
Pendidikan prasekolah adalah peringkat terpenting bagi membentuk emosi, fizikal, sosial, dan perkembangan pemikiran kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan 4 hingga 6 tahun sebagai persediaan untuk melangkah ke sekolah rendah.. Semasa belajar di prasekolah kanak-kanak memperoleh asas komunikasi, kemahiran sosial, dan kemahiran lain yang positif dari aspek fizikal, kognitif, emosi, rohani dan nilai estetika. Oleh itu, penilaian adalah salah satu aspek yang harus diberi penekanan oleh guru prasekolah bagi menentukan pencapaian dan perkembangan seseorang kanak-kanak sepanjang mereka mengikuti pembelajaran di prasekolah.


Kementerian Pelajaran Malaysia (2003) menyatakan penilaian adalah sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran dan dijalankan secara berterusan. Ianya adalah proses pengumpulan maklumat tentang perkembangan dan kemajuan kanak-kanak dengan menggunakan pelbagai kaedah. Penilaian ini bertujuan untuk mengenal pasti pelbagai kecerdasan dan potensi untuk diberi pengukuhan dan dipertingkatkan. Penilaian yang dijalankan hendaklah direkodkan dengan tepat dan jelas seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan (1996) dan disebutkan lagi dalam Peraturan-peraturan Pendidikan(Kurikulum Prasekolah) 1997, yang ditulis dalam perenggan:
“5. (1) Tiap-tiap tadika hendaklah membuat penilaian berterusan tentang perkembangan murid-muridnya dalam domain kognitif, afektif dan psikomotor”.


Penilaian di peringkat prasekolah dijalankan secara tidak formal dan berterusan. Guru prasekolah hendaklah menilai kanak-kanak dari semasa ke semasa. Setiap pengajaran yang disampaikan oleh guru hendaklah dinilai. Tujuannya supaya guru dapat mengumpul maklumat sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran serta mengetahui kemajuan kanak-kanak dalam berbagai aktiviti dan perkembangan sikap mereka. Selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh, bersepadu, dan seimbang perlu diberi pertimbangan yang sewajarnya di dalam program prasekolah kerana pengalaman pembelajaran di prasekolah bakal mencorakkan perkembangan kanak-kanak seterusnya.

2.0 Penilaian dalam Mengenal Pasti Kemajuan Kanak-kanak
2.1 Konsep Penilaian
Guru memainkan peranan penting dalam mengesan kebolehan, kemajuan dan pencapaian murid. Guru juga menentukan hasil pembelajaran yang hendak dinilai, merancang dan membina instrumen penilaian, menganalisis maklumat penilaian, melapor dan membuat tindakan susulan.
Penilaian ialah proses mengumpul maklumat dan mengesan kemajuan kanak-kanak dalam aspekpengetahuan, kemahiran dan penguasaan kanak-kanak terhadap sesuatu proses pembelajaran bagi membantu perkembangan yang seterusnya. Proses ini dijalankan secara berterusan dan bersesuaian dengan objektif pembelajaran dan tahap perkembangan individu setiap kanak-kanak semasa kanak-kanak mengalami proses pembelajaran.
Penilaian juga dapat dianggap sebagai satu cara untuk mendapatkan bukti yang tepat tentang sesuatu perkara. Gay (1985) berpendapat bahawa penilaian ialah satu proses yang sistematik semasa mengumpul dan menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang telah ditetapkan itu telah tercapai.
Arthur et.al. (1996) berpendapat penilaian ialah proses mengumpul bukti dan membuat pertimbangan tentang keperluan, kekuatan, kebolehan dan pencapaian. Ia juga membawa maksud proses mengumpul data dan membuat pertimbangan tentang keberkesanan program pengajaran, polisi dan prosedur.


2.2 Matlamat Penilaian
Penilaian dalam pengajaran dan pembelajaran adalah sama pentingnya dengan
pengajaran dan pembelajaran itu sendiri. Matlamat utama penilaian ialah untuk memperbaiki pengajaran dan pembelajaran. Menurut Putri Zabariah dan Rohani (2007) penilaian dijalankan adalah supaya guru dapat:
2.2.1 Mengesan perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh;
2.2.2 Melihat perubahan pada perkembangan setiap kanak-kanak;
2.2.3 Membuat perancangan dan pengubahsuaian aktiviti pengajaran untuk membantu meningkatkan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak;
2.2.4 Mempelajari keperluan setiap kanak-kanak;
2.2.5 Mengesan keberkesanan aktiviti, rutin, dan strategi yang digunakan;
2.2.6 Mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid dalam pembelajaran dari semasa ke semasa.
2.2.7 Memberi laporan yang tepat kepada ibu bapa, pakar-pakar kesihatan, guru besar dan pegawai-pegawai yang memantau;
2.2.8 Menghargai hasil kerja kanak-kanak; dan
2.2.9 Membuat tindakan susulan serta-merta
2.3 Kaedah Penilaian
Penilaian di peringkat prasekolah bercorak tidak formal dan dijalankan ke atas kanak-kanak secara pemerhatian yang berterusan. Pemerhatian adalah satu kaedah penilaian melalui pemerhatian yang dijalankan secara sistematik, jelas dan tepat. Penilaian dilaksanakan melalui pemerhatian terhadap tingkah laku, perbualan atau interaksi dan hasil kerja murid. Oleh sebab kadar penerimaan dan kefahaman sesuatu konsep bagi setiap murid adalah berbeza, maka penilaian sangat sesuai dilakukan secara individu.
2.3.1 Pemerhatian
Pemerhatian ialah pengamatan kepada perlakuan kanak-kanak yang bersesuaian dengan perkembangan mereka. Dalam konteks penilaian, pemerhatian adalah satu kaedah yang sistematik yang dilakukan oleh guru untuk mengumpul data atau maklumat atau merekodnya dengan tepat. Guru perlu ada kemahiran memerhati secara prihatin pada apa yang berlaku pada setiap kanak-kanak melalui pemerhatian yang dibuat terhadap tingkah laku, perbualan dan hasil kerja kanak-kanak.
Melalui pemerhatian terhadap tingkah laku kanak-kanak, guru boleh memerhatikan dan menilai murid semasa aktiviti bermain pondok-pondok, menyusun blok bersama rakan-rakan, semasa mereka bermain bersama rakan-rakan atau bersendirian, semasa aktiviti pembelajaran seperti membuat kolaj dalam kumpulan, aktiviti mengikat tali kasut, menyelesaikan masalah bersama rakan dan sebagainya.
Manakala pemerhatian terhadap perbualan atau interaksi yang boleh diperhatikan ialah semasa perbualan atau interaksi antara murid dengan guru, perbualan atau interaksi antara murid dengan murid, interaksi murid dengan bahan, main peranan, bercerita dan bersoal-jawab, semasa aktiviti nyanyian, hafazan, bacaan dan lain-lain. Pemerhatian ke atas kanak-kanak hendaklah dilakukan dalam semua domain iaitu domain kognitif, afektif dan psikomotor.
Selain itu, guru boleh menilai hasil kerja murid melalui rekod kerja yang dikumpulkan dan menjadi sumber maklumat kemajuan kanak-kanak, kekuatan, kelemahan, konsep, dan kemahiran yang mereka ketahui dan kuasai. Setiap bahan atau hasil kerja murid dikumpulkan dalam bentuk portfolio. Beberapa bahan yang dikumpulkan dalam portfolio murid ialah hasil lukisan, mewarna, lakaran, tulisan, buku skrap, kraf tangan, buku kecil, dan model, video kanak-kanak, gambar yang diambil semasa kanak-kanak menjalani aktviti pengajaran dan pembelajaran di prasekolah dan sebagainya.
2.4 Waktu Penilaian
Dalam konteks pendidikan prasekolah, setiap pengajaran yang disampaikan oleh guru kepada kanak-kanak hendaklah dinilai. Penilaian ke atas kanak-kanak hendaklah dijalankan sepanjang masa pengajaran dan pembelajaran berlangsung sama ada secara berkala masa atau mengikut kekerapan yang perlu.
Hal ini bersesuaian dengan pendapat Putri Zabariah dan Rohani (2007) bahawa penilaian ke atas sesuatu pengajaran dan pembelajaran mesti bermula daripada awal, semasa dan di akhir pembelajaran. Segala maklumat yang dikumpulkan sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran memberi suatu gambaran berkenaan penguasaan kanak-kanak. Melalui proses penilaian yang dijalankan, guru dapatmengikuti perubahan yang berlaku daripada semasa. Justeru itu, waktu penilaian ke atas kanak-kanak adalah secara berterusan dan tiada had masa tertentu.
2.5 Tindakan Susulan
Sebagaimana yang terkandung dalam Huraian Kurikulum Prasekolah Kebangsaan (2003), Tindakan susulan adalah aktiviti bimbingan, pengukuhan dan pengayaan, setelah dikenal pasti kelebihan atau kekurangan perkembangan murid. Aktiviti bimbingan dirancang bagi membantu murid mengatasi masalah pembelajaran agar kelemahan murid tidak terhimpun. Proses penilaian hendaklah dilaksanakan semula. Aktiviti pengukuhan merupakan pengukuhan kepada pengetahuan dan kemahiran yang telah dikuasai. Aktiviti pengayaan hendaklah dirancang untuk memberi peluang kepada murid menjalani aktiviti yang lebih mencabar setelah aktiviti, kemahiran, atau aspek yang sepatutnya dipelajari telah dikuasai atau disiapkan.
Semasa menjalankan tindakan susulan guru boleh menyediakan aktiviti bagi membantu murid yang memerlukan lebih perhatian atau pun aktiviti yang lebih mencabar. Kepekaan guru dalam penilaian berterusan ini dapat meningkatkan pencapaian setiap murid ke tahap yang optimum. Antara kebaikan menjalankan tindakan susulan di prasekolah ialah:
2.5.1 Kelebihan murid dalam pencapaian boleh diperkukuh dan dipertingkatkan melalui aktiviti yang mencabar. Kekurangan tahap pencapaian murid boleh dibantu melalui bimbingan yang sewajarnya.
2.5.2 Perkembangan dan kemajuan murid dapat dipantau dengan seadilnya secara individu, kumpulan, dan kelas melalui proses pembelajaran.
2.5.3 Murid yang telah menguasai tahap pencapaian yang sepatutnya perlu disokong dan diberi dan diberi lebih banyak aktiviti pengukuhan bagi meningkatkan pencapaian.
2.5.4 Murid yang belum menguasai tahap pencapaian yang sepatutnya perlu diberi aktiviti bimbingan dan sokongan yang bersesuaian dengan aras penguasaan murid tersebut.
2.5.5 Guru juga perlu memaklumkan kepada ibu bapa tahap penguasaan anak mereka untuk memperoleh sokongan tambahan di rumah.
2.0 Main dan Kanak-kanak
Bermain ialah apa-apa kegiatan yang memberikan kegembiraan dan kepuasan kepada kanak-kanak tanpa menimbangkan apakah hasil kegiatan itu. Bermain bukan satu kegiatan yang dipaksa tetapi ia merupakan fitrah semula jadi kanak-kanak dalam proses mereka berkembang. Bagi kanak-kanak, bermain merupakan aktiviti di dalam kehidupan seharian mereka. Melalui aktiviti bermain kanak-kanak belajar berkenaan diri dan alam persekitarannya.
Dalam konteks pendidikan prasekolah, bermain ialah satu proses pembelajaran yang terancang dan berstruktur dalam memberi peluang kepada murid belajar dalam suasana yang informal, menyeronokkan, bebas dan selamat. Melalui bermain, kanak-kanak berinteraksi dengan bahan, orang lain atau secara bersendirian. Kanak-kanak merasa terhibur apabila mereka bermain. Bermain adalah satu bentuk kesenian kanak-kanak. Ia merupakan saluran untuk melahirkan perasaan dan punca untuk mendapatkan kegembiraan dan keseronokan.
Banyak tokoh ahli Psikologi kanak-kanak yang menekankan kepentingan bermain kepada kanak-kanak termasuklah Montessori yang menganggap permainan adalah pekerjaan kanak-kanak. Beliau berpendapat bahawa semua kanak-kanak suka belajar melalui bermain.
Friedrich Wilhelm Froebel (1782–1852) yang digelar ‘father of kindegarten’ telah meneroka dan membina satu sistem pendidikan awal kanak-kanak yang berasaskan kepada konsep belajar melalui bermain. Beliau percaya bermain adalah asas untuk kanak-kanak mempelajari sesuatu. Froebel juga yakin permainan yang sesuai dapat membantu kanak-kanak berfikir mengenai dan mampu memberi keseronokan, kebebasan, kepuasan, kerehatan dalaman dan luaran serta kedamaian di dalam dunia kanak-kanak. Beliau percaya bahawa kanak-kanak belajar dari persekitarannya dan pembentukan peribadi di pengaruhi oleh cara kanak-kanak bermain. Alat-alat permainan yang digunakan oleh kanak-kanak perlu dipilih dengan teliti bagi tujuan untuk menyokong perkembangan kanak-kanak.
Herbert Spencer (1973) dalam teori Surplus energy menyatakan main adalah penting bagi kanak-kanak untuk membuang lebih tenaga mereka. Semua manusia telah dibekalkan dengan tenaga dan sekiranya tenaga ini tidak digunakan ia harus dibuang dan cara yang menyeronokkan ialah melalui main.
Mengikut Vygotsky (1967) Main membantu perkembangan bahasa dan pemikiran. Struktur otak akan membentuk melalui penggunaan simbol dan alat, ia juga membantu dalam pembentukan ini. Main juga memberi kebebasan kepada kanak-kanak untuk meluahkan tekanan dalam menghadapi dunia sebenar. Dalam cara ini kanak-kanak dapat mengawal situasi dan menyesuaikannya dalam dunia sebenar. Mereka dibenarkan untuk memperoleh proses pemikiran yang tinggi melalui bermain.
Sigmun Freud (1968) memandang main sebagai suatu cara untuk mengurangkan emosi kebimbangan, dan mengawal emosi dengan melepaskan tindakan haram dalam dunia khayalan. Maka, main memainkan peranan yang penting dalam perkembangan emosi dan sosial kanak-kanak. Begitu juga dengan Jean Piaget (1962) yang berpendapat bahawa tujuan main ialah menggerakkan perkembangan kognitif kanak-kanak, di samping memperkukuhkan pembelajaran yang baru dijalankan dalam suasana yang tenang.
Terdapat pelbagai jenis main yang boleh dijadikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di prasekolah. Antaranya ialah Main Sosial (Social Play), Main Kognitif (Cognitive Play), dan Main Sosiodrama (Socio-dramatic Play). Guru haruslah peka dan memahami pelbagai nilai main yang boleh menyumbang ke arah perkembangan kanak-kanak di prasekolah secara menyeluruh dan seimbang dari aspek kognitif, fizikal, sosial, bahasa, kreativiti dan emosi. Guru-guru prasekolah pada masa kini sedar nilai sesebuah permainan sebagai satu cara pembelajaran yang mampu merangsang minda dan mempunyai kepentingan tersendiri dalam perkembangan kanak-kanak prasekolah.
3.0 Penilaian Semasa Kanak-kanak Bermain
Dari sudut psikologi terdapat 12 aspek perkembangan yang dapat dikenal pasti semasa memerhati kanak-kanak yang sedang bermain. Walau bagaimanapun hanya lima aspek perkembangan yang akan dibincangkan iaitu:
4.1 Aspek Perkembangan Kognitif
Banyak kajian telah menunjukkan perhubungan yang positif antara main dan pembelajaran kanak-kanak. Mengikut Piaget (1983, keupayaan adaptasi psikologikal adalah amat penting dalam memastikan perkembangan struktur kognitif atau mental kanak-kanak. Piaget memandang main sebagai aktiviti pengukuhan untuk tingkah laku yang baru dipelajari. Walaupun main bukan kesamaan dengan pembelajaran, apa yang pasti, main mempermudahkan cara pembelajaran. Ini adalah kerana bermain memberi peluang kepada kanak-kanak untuk memperoleh pengalaman baru agar dapat diadaptasikan dalam struktur kognitif mereka.
Banyak aktiviti yang boleh dilakukan untuk membantu merangsang perkembangan kognitif kanak-kanak. Guru boleh menggalakkan kanak-kanak berfikir dengan cara mengadakan permainan yang boleh mencabar pemikiran kanak-kanak seperti bersoal-jawab apa yang mereka akan rasa sekiranya mereka menjadi sebuah buku, menjadi sebuah basikal, dan sebagainya. Permainan seperti ini mendorong kanak-kanak berfikir secara spontan dan secara langsung akan membantu perkembangan kognitif mereka.
Aktiviti lain yang guru boleh jalankan ialah aktiviti permainan air. Permainan air boleh dijalankan di dalam atau di luar kelas. Tempat air boleh berbentuk tetap atau sementara. Guru perlu mengambil kira beberapa aspek semasa kanak-kanak menjalani aktiviti main air. Antaranya ialah penyediaan bahan, penyediaan tempat atau ruang, pakaian yang sesuai, mestilah berdekatan dengan sumber air, dan mengambil langkah-langkah keselamatan yang perlu.
Berbagai perkara dalam aspek kognitif dapat dikembangkan melalui permainan air seperti kemahiran menyiasat, menjalankan eksperimen, membuat anggaran, dan membuat perbandingan. Selain itu, kanak-kanak juga dapat menambah pengetahuan tentang konsep isi padu, kapasiti, saiz, bentuk, konsep penyerapan, timbul tenggelam, serta penyejukan dan pemanasan. Melalui Permainan air kanak-kanak bolehmeneroka persekitaran, mempelajari perkara baru dan juga belajar dalam menyelesaikan masalah. Aktiviti-aktiviti yang boleh dijalankan semasa main air yang boleh menggalakkan perkembangan kognitif ialah:
4.1.1 Memerhati dan meneroka ciri-ciri air seperti menuang air ke dalam beberapa bekas berbeza saiz dan bentuk melalui cara seperti membuat teh tarik.
4.1.2 Membanding dan membezakan serta membuat anggaran isi padu air.
4.1.3 Menjalankan eksperimen seperti menyediakan larutan air daripada bahan-bahan berbeza seperti garam, pasir, gula, batu, dan sebagainya.
4.1.4 Melakukan penyelenggaraan pada akuarium yang mengandungi hidupan air.
4.1.5 Bermain dengan kenderaan air atau objek untuk mengetahui konsep tenggelam dan timbul.
Aktiviti bermain dengan bongkah juga boleh mengembangkan kognitif kanak-kanak. Contohnya bagi meningkatkan kefahaman kanak-kanak mengenai bentuk, saiz dan ciri-ciri, kanak-kanak boleh menjalani aktiviti dengan cara bermain seperti mengumpulkan bongkah mengikut ciri-ciri yang ditetapkan iaitu mengumpulkan semua bongkah berwarna merah, mengumpulkan semua bongkah berbentuk bulat, segi tiga, segi empat dan sebagainya. Menurut Piaget ( 1962 ), main dengan binaan mengajar pelbagai konsep kuantitatif dan ruang.
Selain itu, melalui aktiviti bermain dengan bongkah juga kanak-kanak dapat meneroka kemahiran awal sains yang merupakan salah satu cabang perkembangan kognitif. Contohnya, bagi kemahiran membezakan warna dan bentuk, guru akan menggunakan bongkah pelbagai warna dan bentuk. Kanak-kanak menyusun dan mengumpul bongkah mengikut warna serta menamakan warna itu. Kanak-kanak memberikan bongkah yang sama warna seperti yang dikehendaki guru. Permainan diulang dengan kanak-kanak membezakan bentuk pula.
4.2 Aspek Perkembangan Bahasa
Melalui bermain juga dapat membantu perkembangan bahasa kanak-kanak. Permainan yang melibatkan bahasa dapat merangsang minda kanak-kanak menguasai dan membantu mereka menambah perbendaharaan kata. Mereka juga menyedari setiap objek di persekitaran mereka mempunyai nama dan peranan yang tersendiri. Guru boleh menjalankan aktiviti bagi memberi peluang kepada kanak-kanak meluaskan perkembangan bahasa melalui aktiviti bermain bongkah, bermain pondok-pondok, main pasir dan main peranan.
Melalui aktiviti bermain bongkah, kanak-kanak bermain dengan bongkah yang pelbagai warna, saiz, dan bentuk. Mereka membuat binaan seperti rumah, jambatan, jalan raya, bangunan, kenderaan dan sebagainya. Semasa aktiviti ini berjalan guru menggalakkan kanak-kanak melahirkan perasaan seperti bercerita, berimaginasi, dan menyanyi ketika bermain dengan bongkah. Oleh itu, secara tidak langsung, perbendaharaan kata kanak-kanak akan bertambah. Melalui permainan ini juga kanak-kanak akan berbincang sesama sendiri mengenai bahan binaan mereka. Guru juga hendaklah memberi perangsang dengan mengemukakan beberapa soalan yang boleh menggalakkan kanak-kanak berbual dan bercerita mengenai aktiviti yang mereka lakukan.
Aktiviti main pondok-pondok juga boleh menggalakkan perkembangan bahasa di kalangan kanak-kanak. Sewaktu bermain pondok-pondok, kanak-kanak meniru perwatakan ahli keluarga seperti bapa, ibu, kakak, abang, dan adik. Mereka juga akan meniru perwatakan orang-orang di sekeliling mereka seperti doktor, anggota polis, guru, peniaga dan sebagainya. Sewaktu bermain kanak-kanak akan berbual sesama mereka berdasarkan watak yang telah dipilih. Aktiviti yang baik ini perlu dipupuk tetapi perlu ada kawalan dan batasan daripada guru. Melalui aktiviti ini aspek perkembangan bahasa kanak-kanak dapat dipertingkatkan.
Selain aktiviti main bongkah dan main pondok-pondok, aktiviti main sambil menyanyi juga adalah satu cara bagaimana kanak-kanak memperkembangkan penguasaan bahasa mereka. Dengan nyanyian juga dapat memperkenalkan pelbagai konsep dan bahasa dapat ditingkatkan kerana ia mudah diingati dan difahami oleh kanak-kanak. Peningkatan perkembangan bahasa dapat berkembang melalui sebutan semasa menyanyi.
Contoh aktiviti yang boleh dijalankan ialah menyanyi lagu Row Row Your Boat atau dalam bahasa Melayu ialah Dayung Dayung Sampan sambil membuat aksi mendayung sampan secara berpasangan. Kanak-kanak memegang tangan pasangannya dan kaki bertemu kaki pasangannya. Kemudian, tangan dan kaki bergerak secara berselang-seli seperti mendayung sampan sambil menyanyi lagu tersebut dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dengan iringan muzik. Sepanjang aktiviti tersebut kanak-kanak kelihatan sangat gembira. Aktiviti tersebut diulang beberapa kali sehingga kanak-kanak dapat menyebut lirik lagu itu. Melalui aktiviti ini kanak-kanak dapat mempelajari perkataan-perkataan baru dan secara langsung kosa kata kanak-kanak akan semakin bertambah.
Kanak-kanak belajar bahasa melalui pelbagai cara. Antaranya dengan meniru bunyi yang pernah didengarinya. Mereka belajar dengan meniru orang dewasa dan rakannya bercakap dan meluahkannya dengan cara tertentu. Contohnya, permainan lagu berantai membolehkan kanak-kanak menghafal, menghasilkan , mempelbagaikan dan memanipulasikan perkataan dalam pelbagai situasi. Mereka membina perkataan yang lucu, mudah, dan mereka cerita khayalan daripada pengalaman mereka sendiri. Dengan cara ini, kanak-kanak guru dapat meningkatkan perkembangan bahasa kanak-kanak. Contoh permainan lagu berantai ialah seperti:
Malam yang sepi pi… pi
Pak Mat jual topi pi…pi
Topinya koyak yak…yak
Pak Mat jual tempoyak yak…yak
Tempoyaknya basi si…si
Pak Mat jual nasi si… si
4.3 Aspek Perkembangan Sosial
Perkembangan sosial amat penting dalam kehidupan manusia dan dipelajari sejak kecil. Kemahiran asas sosial yang perlu dikuasai oleh kanak-kanak ialah kemahiran menarik perhatian orang lain, berkongsi dan memberi, meminta dan bertanya, memberi idea dan memuji atau memberi penghargaan. Ini termasuklah cara kanak-kanak berinteraksi dengan kanak-kanak lain dan orang dewasa dalam kehidupan mereka. Kemahiran sosial termasuklah berkongsi, bekerjasama dan mematuhi peraturan.
Menurut Philip (1991) kemahiran sosial membawa maksud tingkah laku-tingkah laku yang prihatin untuk melakukan perhubungan interpersonal yang efektif. Sebaliknya Thacker (1996) pula mendefinisikan kemahiran sosial sebagai keupayaan untuk berkomunikasi secara efektif dengan individu lain dalam situasi sosial atau kerja.
Pelbagai aktiviti bermain boleh dilakukan di prasekolah dalam membantu perkembangan sosial kanak-kanak. Antaranya aktiviti bermain pasir. Permainan pasir boleh dijalankan di dalam dan di luar kelas. Ruang pasir haruslah berkeadaan teduh dan selesa untuk kanak-kanak bermain. Guru harus menyediakan pelbagai peralatan untuk memberi peluang kepada murid membuat penerokaan dan penemuan baru serta bersosialisasi dengan rakan-rakan. Semasa bermain pasir kanak-kanak akan berkongsi dan bergilir-gilir menggunakan peralatan bersama rakan-rakan, hormat-menghormati, menghargai sumber dan idea orang lain, dan bekerjasama sesama rakan.
Selain itu, aktiviti bermain di taman permainan juga boleh menggalakkan kanak-kanak meningkatkan aspek perkembangan sosial di kalangan kanak-kanak. Hal ini demikian kerana, semasa aktiviti bermain di taman permainan kanak-kanak perlu bergaul dengan semua rakan sebaya. Di samping itu, mereka dilatih bersifat sabar dan mematuhi peraturan kerana perlu bergilir-gilir semasa bermain dengan alatan permainan yang terhad. Secara tidak langsung kanak-kanak ini belajar untuk menghormati perasaan dan hak orang lain.
Begitu juga aktiviti bermain pondok-pondok, bermain doh ataupun semasa bermain permainan dalaman seperti congkak, dam ular, ketingting dan sebagainya. Semasa bermain bersama rakan-rakan, kanak-kanak sebenarnya sedang belajar cara-cara berinteraksi dan bersosial bersama orang lain di luar daripada lingkungan ahli keluarga. Memberi pendedahan sosial yang awal kepada kanak-kanak memudahkan mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran di samping dapat menanam sifat berani dan berani ke hadapan.
Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa aktiviti-aktiviti main ini menggalakkan kanak-kanak bergaul dengan rakan dan secara langsung membantu perkembangan sosial mereka. Semasa bermain dengan kanak-kanak lain, kanak-kanak akan cuba belajar dan mengekalkan hubungan yang sedia terjalin. Ini adalah kerana penyesuaian semasa bergaul adalah asas kepada proses sosialisasi kanak-kanak.
4.4 Aspek Perkembangan Emosi
Terdapat pelbagai cara untuk memupuk perkembangan emosi kanak-kanak di peringkat prasekolah. Contohnya, aktiviti bermain yang dijalankan semasa berada di sekolah. Kepentingan emosi dalam kehidupan telah mula diakui oleh ahli-ahli falsafah sejak zaman Greek lagi. Tidak hairanlah jika Plato, Aristotle, Spinoza, Descartes, Hobbes, dan Hume telah mengemukakan teori-teori berkaitan emosi yang menjadi asas kepada penyelidikan tentang emosi dan kaitannya dengan kehidupan manusia.
Emosi bermaksud jiwa yang kuat. Manusia adalah makhluk yang mempunyai perasaan yang tinggi dan paling halus. Emosi juga boleh dimanifestasikan melalui bahasa badan ataupun gerak geri seseorang. Bahasa badan ialah pergerakan badan seperti postur dan ekspresi wajah. Mengikut Daniel Goleman ( 1997 ), emosi merujuk kepada sesuatu perasaan dan pemikiran tersendiri di bawak keadaan psikologikal dan biological, serta ada kecenderungan yang berbeza-beza untuk bertindak. Ini bermakna emosi biasanya digambarkan dengan bahasa badan fizikal , iaitu bahasa bukan lisan.
Menurut Plato, terdapat tiga komponen asas dalam minda manusia iaitu daya taakulan, kehendak (desire), dan komponen emotif. Antara komponen emotif yang dimaksudkan ialah kegembiraan, kesedihan, ketakutan, dan kemarahan. Bagi Aristotle juga, emosi mempunyai peranan yang sangat besar dalam mempengaruhi kehidupan manusia secara keseluruhannya.
Perkembangan emosi bagi seseorang kanak-kanak adalah sangat penting. Sekiranya seseorang kanak-kanak gagal berkembang secara positif, mereka mungkin tidak akan berjaya menghadapi tekanan-tekanan yang bakal dihadapi dalam hidup. Oleh sebab itulah di peringkat prasekolah pemupukan emosi positif amat dititik beratkan terutamanya dalam aktiviti bermain. Ini adalah kerana bermain dapat membantu memberikan kepuasan dan ketenangan emosi kepada kanak-kanak terutamanya apabila mereka diberikan kebebasan berkreatif dan berimaginasi tanpa gangguan.
Antara aktiviti yang boleh dijalankan untuk guru menilai dan menggalakkan perkembangan emosi kanak-kanak ialah melalui aktiviti Komponen Kreativiti dan Estetika. Ini kerana aktiviti ini memberi peluang untuk kanak-kakak menyampaikan perasaan, karya, meluahkan emosi, dan kebolehan mereka dalam pelbagai cara. Contohnya aktiviti seni visual dengan menggunakan warna air. Kebanyakan kanak-kanak suka bermain dengan warna air kerana pada mereka aktiviti ini mencabar kebolehan mereka. Aktiviti percikan dan tiupan warna air di atas kertas lukisan. Semasa aktiviti ini dijalankan, kelihatan kanak-kanak seronok dan emosi kegembiraan terpancar di wajah mereka. Banyak lagi aktiviti seni visual yang boleh dijalankan di prasekolah dalam membentuk perkembangan emosi kanak-kanak.
Selain itu, perkembangan sosioemosi juga boleh dipupuk semasa guru mengajar aktiviti nyanyian, serta muzik dan gerakan. Hal ini demikian kerana muzik digemari secara semula jadi oleh kanak-kanak. Kanak-kanak dapat meluahkan perasaan gembira atau seronok melalui aktiviti muzik. Aktiviti muzik dapat membantu menggalakkan perkembangan emosi kanak-kanak. Antaranya semasa penyertaan kanak-kanak dalam aktiviti nyanyian berkumpulan, kanak-kanak akan menyanyi dan menari bersama rakan-rakan yang lain. Dengan cara ini, mereka dapat meluahkan perasaan gembira yang ditunjukkan melalui ekspresi muka semasa aktiviti nyanyian ini dijalankan. Oleh itu, guru dapat menilai sejauh mana meningkatnya perkembangan emosi seseorang kanak-kanak.
4.5 Aspek Perkembangan Fizikal
Permainan biasanya melibatkan aktiviti fizikal yang berhubung rapat dengan perkembangan kanak-kanak dari aspek motor kasar dan motor halus serta kesedaran tentang badan mereka. Kanak-kanak berasa seronok dan gembira sewaktu aktif menggunakan bahagian-bahagian anggota badan mereka untuk bersenam. Ini membolehkan kanak-kanak meningkatkan kemahiran yang membolehkan mereka berasa lebih selamat, lebih yakin, dan boleh berdikari. Dalam masyarakat di mana kanak-kanak menghadapi tekanan, keyakinan dan sikap bersaing untuk berjaya dalam segala bidang amat diperlukan.
Perkembangan fizikal merupakan suatu aspek penting dalam pendidikan awal kanak-kanak. Komponen Perkembangan fizikal memberi fokus kepada empat aspek penting iaitu perkembangan psikomotor halus, perkembangan psikomotor kasar, kesihatan dan keselamatan. Aspek perkembangan fizikal kanak-kanak dapat dikembangkan melalui empat aspek yang telah dinyatakan. Antara strategi pengajaran dan pembelajaran yang boleh dijalankan untuk memupuk perkembangan fizikal kanak-kanak ialah:
4.5.1 Aspek Perkembangan Psikomotor Kasar
Kanak-kanak harus diberi peluang menyertai pelbagai aktiviti pergerakan yang aktif, pantas, dan mencabar. Dengan bermain terutamanya dalam permainan aktif, kanak-kanak belajar mengawal pergerakan dan mengimbangi tubuh mereka serta melicinkan perjalanan sistem dalam tubuh seperti sistem pernafasan dan sistem saraf.
Aktiviti pergerakan akan membantu pertumbuhan tubuh badan menjadi sihat. Selain itu, kanak-kanak dapat menguasai kemahiran fizikal serta dapat meningkatkan lagi keupayaan pergerakannya melalui pengalaman yang diperolehi melalui permainan, pergerakan kreatif dan gimnastik.
Misalnya, aktiviti bermain di padang permainan, aktiviti seperti memanjat dan menuruni gelongsor, bergayut pada ‘ monkey bar ’, bermain buaian dan sebagainya dapat membantu perkembangan fizikal kanak-kanak.
4.5.2 Aspek Perkembangan Motor Halus
Kemahiran motor halus ialah kemahiran yang melibatkan kemahiran menggunakan otot kecil seperti pergerakan jari serta koordinasi jari dan mata. Penguasaan psikomotor halus yang baik amat penting dalam membantu pergerakan asas dan kemahiran menulis kepada kanak-kanak. Antara aktiviti dalam bentuk permainan yang boleh dijalankan bagi membantu perkembangan fizikal dalam aspek ini ialah seperti merantai manik, menjahit kad berlubang, menconteng kertas, melipat, mengoyak dan merenyuk kertas, menguli doh dan lain-lain lagi.
Salah satu aktiviti yang menyeronokkan kanak-kanak dalam membantu aspek perkembangan fizikal ialah bermain dengan doh. Sebelum kanak-kanak bermain dengan doh, guru hendaklah membimbing kanak-kanak membuat doh sendiri. Menyediakan doh sendiri memberi peluang kepada kanak-kanak merasa sendiri struktur doh dan memilih sendiri warna yang mereka suka. Biarkan kanak-kanak menggaul dan menguli doh dengan tangan. Dengan cara ini, ia melatih pergerakan motor halus kanak-kanak. Proses mengadun, menggaul, meramas adalah baik untuk jari-jemari kanak-kanak dan ia juga adalah latihan awal bagi persediaan untuk menulis.
4.0 Merekodkan Pemerhatian
Setiap pemerhatian yang dilakukan merupakan maklumat penting yang perlu direkodkan secara sistematik, tepat, lengkap dan jelas. Merekod pemerhatian ialah aktiviti mencatat maklumat secara sistematik daripada apa yang diperhatikan berkaitan dengan perkembangan, kebolehan, kemajuan, pengetahuan, dan pencapaian murid yang ingin dinilai. Pemerhatian guru memainkan peranan penting untuk menilai kanak-kanak prasekolah. Guru hendaklah sentiasa memerhatikan sesuatu perubahan tabiat atau perlakuan kanak-kanak. Maklumat ini hendaklah direkodkan secepat mungkin. Maklumat tersebut dapat membantu guru menyediakan laporan kemajuan kanak-kanak pada bila-bila masa diperlukan.Pemerhatian boleh direkodkan dengan menggunakan rekod senarai semak, rekod anekdot, dan rekod berterusan.
5.1 Rekod Senarai Semak
Senarai semak ialah senarai item yang disediakan untuk mengenal pasti perkembangan dari segi pengetahuan, kemahiran, sikap dan kebolehan. Senarai item yang disediakan adalah untuk menentukan sama ada tingkah laku yang berlaku, tingkah laku dapat diperhatikan, dan kekerapan tingkah laku itu berlaku dengan menandakan ( Ö ) atau cara lain mengikut arahan dalam senarai semak. Senarai item yang disediakan hendaklah mengambil kira domain kognitif, afektif dan psikomotor. Senarai semak ini juga dapat menyatakan sama ada murid itu boleh atau tidak boleh, mencapai atau tidak mencapai hasil pembelajaran yang diingini.
5.2 Rekod Anekdot
Rekod anekdot adalah satu catatan yang ringkas, tepat dan padat mengenai sesuatu peristiwa atau tingkah laku murid yang dianggap penting, unik dan signifikan untuk direkodkan. Maklumat yang perlu ada dalam rekod anekdot ialah nama kanak-kanak, tarikh, masa, tempat, peristiwa yang berlaku, ulasan guru dan cadangan atau tindakan guru. Catatan ringkas ini akan membantu guru memahami kanak-kanak berkenaan. Rekod anekdot hendaklah ditulis secara objektif untuk menerangkan apa yang berlaku, bila dan di mana berlaku.
5.2.1 Perkara-perkara yang perlu dipertimbangkan untuk menulis rekod anekdot ialah:
- Membuat pemerhatian terhadap peristiwa yang berlaku.
- Mengenal pasti peristiwa itu penting dan signifikan kepada aspek
perkembangan kanak-kanak, merangkumi kelebihan dan kekurangan.
- Menulis maklumat selepas peristiwa berlaku
- Menulis apa yang dilihat secara objektif
- Maklumat yang biasanya direkodkan adalah berpandukan peristiwa
menggambarkan tentang perkembangan bahasa dan literasi, pola
interaksi sosial dan kemahiran menyelesaikan masalah.
5.2.2 Panduan Merekod:
- Membuat catatan dalam buku nota bagi memastikan peristiwa yang
direkodkan tidak tercicir.
- Merekod hasil pemerhatian sebaik sahaja selesai pemerhatian dibuat.
- Mencatat tingkah laku dan apa yang diperkatakan oleh kanak-kanak.
- Masukkan respons orang lain sekiranya ada kaitan dengan tingkah laku
Kanak-kanak yang diperhatikan.
- Pastikan peristiwa dicatat mengikut urutan
- Maklumat yang direkodkan hendaklah berpandukan peristiwa yang
menggambarkan perkembangan kanak-kanak.
5.3 Rekod Berterusan
Rekod Berterusan merupakan catatan dalam bentuk cerita (narative) yang dibuat ke atas individu atau kumpulan murid semasa berlakunya sesuatu peristiwa. Setiap perlakuan dan apa yang dikatakan oleh murid akan dicatat sepanjang tempoh pemerhatian. Pemerhatian yang terperinci ini biasanya dijalankan dalam tempoh 3 hingga 8 minit.
5.3.1 Prosedur pemerhatian:
- Fokus kepada kanak-kanak yang ingin diperhatikan.
- Pastikan item yang akan difokuskan semasa pemerhatian.
- Rekodkan apa yang dilakukan oleh kanak-kanak secara terperinci.
- Rekod hendaklah tepat dan padat.
- Catatkan dengan jelas setiap perlakuan mengikut urutan.
5.3.2 Panduan menulis:
- Merekodkan perkara-perkara yang sebenarnya berlaku.
- Gunakan bahasa yang boleh difahami.
- Gunakan singkatan semasa mencatat.
- Tulis secara terperinci tentang tingkah laku yang ingin diperhatikan.
- Tulis secara objektif, tidak terlalu deskriptif atau “ Judgemental”.
- Pastikan buku nota atau kertas catatan diletak di tempat yang strategik atau sulit.
5.0 Dua Cara Merekod Tingkah Laku Kanak-kanak
Saya akan menghuraikan tentang dua cara merekodkan tingkah laku kanak-kanak daripada aspek Perkembangan Sosial iaitu Rekod Anekdot dan Rekod Berterusan.
6.1 Rekod Anekdot
Nama : Muhammad Munir Bin Mohtar
Umur : 6 Tahun
Kelas : Pra Bestari
Tarikh : 22 Februari 2009
Masa : 8.35 Pagi
Tempat : Taman Permainan Prasekolah
Nama Guru : Puan Zailani Binti Zakaria
Peristiwa yang diperhatikan:
Semasa aktiviti bermain di taman permainan prasekolah. Kelihatan Munir, Hazeem, Faris, dan Iskandar beratur untuk memanjat tangga gelungsur. Tiba-tiba, Haikal berlari menuju ke arah kumpulan kanak-kanak yang sedang beratur tadi lalu menolak Faris hingga terjatuh. Faris kelihatan memarahi Haikal kerana berebut hendak memanjat gelungsur dahulu. Tambahan pula, tangannya sakit.
Munir dengan segera membangunkan Faris. Dia berkata kepada Haikal bahawa tidak baik berbuat demikian. Katanya, cikgu sudah beritahu kalau bermain mesti ikut giliran. Haikal kelihatan mengangguk-angguk seolah-olah mengiakan kata-kata Munir. Munir menyuruh Haikal bersalam dan meminta maaf pada Faris. Haikal dan Faris pun bersalam.
Ulasan Guru:
Munir memiliki sifat empati pada rakan. Selain itu, dia juga mempunyai sifat interpersonal yang positif serta sudah memahami bahawa dia perlu mengikut peraturan-peraturan tertentu semasa bermain di taman permainan.
Cadangan:
Guru harus menonjolkan sifat terpuji yang dimiliki Munir dengan menceritakan semula peristiwa yang berlaku di hadapan rakan-rakan yang lain agar menjadi teladan kepada orang lain.

6.2 Rekod Berterusan
Nama : Nur Arifah Aqilah Binti Sulaiman
Umur : 6 Tahun
Tarikh : 18 Mac 2009
Masa : 9.15 – 9.20 pagi
Tempat : Pusat Main Pasir
Nama Guru : Puan Zailani Binti Zakaria

Aqilah bermain bersama sekumpulan 5 orang di pusat main pasir. Mereka bermain dengan beberapa peralatan main pasir seperti pengorek, pencedok, cawan, baldi, dan sebagainya.
Semasa aktiviti baru bermula, kedengaran Aqilah memberi cadangan kepada kanak-kanak yang lain.
Aqilah : Mari kita buat rumah dengan pasir. Lepas 
buat rumah, kita buatlah bukit dan sungai di
belakang rumah, buat pagar di sekeliling
rumah. Nanti tentu rumah kita cantik.

Kanak-kanak yang lain bersetuju. Aqilah membahagikan peralatan permainan pasir kepada kawan-kawannya. Jadi setiap seorang mempunyai alat mainan tersebut.
Aqilah: Ambil seorang satu benda-benda ni. Jom 
kita buat rumah kita cantik-cantik. Nanti 
kita kongsi-kongsi guna alat-alat ni.
Akhirnya rumah pasir pun siap dibina tanpa sebarang konflik hasil daripada peranan yang dimainkan Aqilah.

sumber: http://cikguani.blogspot.com/

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...