twitter
rss


Adakah berfikir itu penting? Mengapakah seseorang itu perlu berfikir? Manusia adalah satu-satunya makhluk ciptaan tuhan yang dikurniakan akal untuk berfikir bagi menilai sesuatu itu buruk atau tidak. Semua manusia menjalani proses berfikir. Berfikir merupakan proses menggunakan minda untuk mencari makna dan pemahaman terhadap sesuatu, menerokai pelbagai kemungkinan idea atau ciptaan dan membuat pertimbangan yang wajar, bagi membuat keputusan dan menyelesaikan masalah dan seterusnya membuat refleksi dan metakognisi terhadap proses yang dialami. Namun begitu, setiap individu mempunyai jenis can cara berfikir mereka yang berbeza.

Kemahiran berfikir boleh dibahagikan kepada pemikiran kritis dan pemikiran kreatif. Kemahiran berfikir secara kritis ialah kecekapan dan keupayaan menggunakan minda untuk menilai kemunasabahan dan kewajaran sesuatu idea, meneliti kebernasan dan kelemahan sesuatu hujah, dan membuat pertimbangan yang wajar dengan menggunakan alasan dan bukti yang kukuh. Manakala kemahiran berfikir secara kreatif pula ialah kebolehan untuk mencerna dan menghasilkan idea hasil. Dalam proses mengkonsepsikan, menyelesaikan masalah atau membuat keputusan, kedua-dua ‘Kemahiran Berfikir dan Strategi Berfikir’ (KBSB) secara kritis dan kreatif perlu digunakan.

Dalam menghadapi cabaran era globalisasi kini, Wawasan 2020 perlu dijadikan sebagai salah satu penanda aras untuk memacu negara ke arah kegemilangan. Terdapat sembilan cabaran yang perlu dihadapi dengan serius oleh semua lapisan rakyat Malaysia. Cabaran pertama ialah mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama. Ia mesti menjadi negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam harmoni, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara. 
Yang kedua ialah cabaran untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju, dengan keyakinan akan keupayaan sendiri, berbangga dengan apa yang ada, dengan apa yang telah dicapai, cukup gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, amat sedar akan semua potensinya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain. 

Cabaran ketiga yang sering kita hadapi ialah usaha mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, yang mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia yang mempunyai persefahaman matang, berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada beberapa banyak negara membangun. 

Cabaran keempat ialah cabaran untuk mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, dengan warganegaranya teguh dalam nilai agama dan kerohanian dan didokong oleh nilai etika paling tinggi.

Cabaran kelima yang selalu kita alami adalah untuk mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan kepercayaan agama mereka dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara. 

Keenam ialah cabaran untuk mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan. 

Cabaran ketujuh untuk mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri, dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan tetapi di sekeliling sistem keluarga yang kukuh. 

Kelapan ialah cabaran untuk memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Ini merupakan masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama, dengan wujudnya perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi. 

Cabaran kesembilan ialah cabaran untuk mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.

Cita-cita dan matlamat negara bangsa telah ditetapkan dalam Wawasan 2020. Wawasan 2020 merupakan kesinambungan usaha dan cita-cita negara sejak zaman kemerdekaan iaitu untuk membina, membangun, dan memupuk sebuah negara yang berteraskan perlembagaan. Negara kita telah merancang untuk menggunakan sumber manusia secara maksimum dalam aktiviti pengeluaran dan pembangunan sepenuhnya akan kemahiran, pengetahuan dan keupayaan tenaga buruh. Dalam konteks ini, pembangunan sumber manusia bermaksud pembangunan minda seseorang individu dan juga cara pemikiran yang seharusya lebih kritis dan kreatif.

 Kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK) memainkan peranan yang amat penting dan harus diterapkan dalam minda anak-anak sejak mereka masih kecil lagi. Dengan itu, negara kita pasti mampu melahirkan mayarakat yang mantap dan berguna dalam mengembleng sumber manusia yang berkualiti. Oleh itu, negara kita akan muncul sebagai sebuah negara yang maju dari segi sumber manusia dan juga intelek seiring dengan cabaran Wawasan 2020.

Sistem pendidikan yang dibentuk oleh negara kita merupakan salah satu tunjang utama bagi negara untuk merealisasikan Wawasan 2020. Matlamat asas bagi setiap sistem pendidikan adalah pendidikan untuk perkembangan seseorang individu. Dalam sistem pendidikan yang dibentuk, pelbagai aktiviti dilakukan dengan mempraktikkan KBKK bertujuan untuk memupuk pertumbuhan kanak-kanak dari segi intelek, moral, sosial dan fizikalnya. Objektif matlamat ini adalah untuk meninggikan kualiti pengajaran dan pembelajaran. 

Setiap pelajar harus memiliki daya intelek yang tinggi bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi rohani, emosi, jasmani, dan intelek khususnya. KBKK berfungsi untuk meningkatkan potensi pemikiran seseorang individu. Oleh itu, KBKK perlu diterapkan dalam kehidupan seseorang terutamanya dalam proses pembelajaran dan pengajaran agar mereka akan dapat menyelesaikan masalah atau membuat keputusan dengan tepat dan mantap tanpa sebarang kesilapan semasa berfikir serta dapat membentuk para pelajar akan dapat mengemukakan pendapat atau idea-idea baru hasil daripada pemikiran mereka secara kritis dan kreatif. Oleh itu, matlamat Wawasan 2020 untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan keyakinan terhadap diri sendiri, bangga dengan apa yang ada dan gagah menghadapi cabaran akan terlaksana kelak.

Kurikulum juga merupakan salah satu faktor yang penting dalam usaha menggalakkan penggunaan KBKK dalam kalangan pelajar di sekolah mahupun di sesebuah institusi pendidikan. Kurikulum telah dirancang dan dirangka dengan begitu teliti serta telah diubahsuai mengikut keperluan semasa supaya pelajar mendapat pengetahuan terkini seiring dengan peredaran zaman agar dapat merealisasikan Falsafah Pendidikan dan juga Wawasan 2020 yang bermatlamat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, sosial dan juga intelek. 

Dengan kurikulum yang sedia telah dirancang dan berkesan dalam pendidikan, ini menunjukkan bahawa negara kita mampu mengharungi kesemua sembilan cabaran yang terkandung dalam Wawasan 2020 kerana setiap lapisan masyarakat Malaysia telah memiliki KBKK yang begitu mantap.

Kesimpulannya, kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK) memainkan peranan yang penting dalam usaha merealisasikan sembilan cabaran Wawasan 2020. Ini adalah kerana penerapan KBKK dalam setiap perkara akan merangsang seseorang individu itu untuk berfikir dengan lebih teliti, terancang dan juga terhindar daripada sebarang kesilapan dalam membuat dan memilih sesuatu keputusan yang jitu. 

Oleh itu, kita perlulah berusaha untuk menerapkan KBKK dalam kehidupan seharian agar dapat melahirkan sebuah bangsa yang gagah menghadapi cabaran Wawasan 2020 dan juga mampu menjadi sebuah masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang di mata dunia.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...